{ ERI TADZRI }
blog indah seni :: eri tadzri

Politik Malaysiaku
Tuesday, January 10, 2012 | 0 comment

Pincang bucu fikir aku menafsir kisah lumpur fitnah di bumi sendiri. Ingin aku masuk ke daerah penuh selut tersebut, mempertahan hak aku, menyatakan hasrat meniup sama angin perubahan tapi takut terpalit sama oleh sifat kebinatangan sesetengah penyokong tegar yang penuh kamikaze demi sorak sorai yang dibawa. Hati aku juga terbakar dengan kata kata pembenteng tapi aku simpan, aku kumpul ilmu takut kurang fakta bila bermadah, mencipta parut sesudah terngadah. Satu persatu kebenaran aku cari tapi akhirnya terbuntu di dua penghujung. Satu pihak memfitnah, satu pihak membalas. Satu pihak menyanjung pemberian sendiri, satu pihak menghulur bukti. Ini bukan cerita bawaan mulut ke mulut. Ini cereka, cerita yang direka dari mata ke minda. Bila lihat, mereka analisa. Cipta inferens sendiri setelah satu persatu cerita disuap walau sesetengahnya diludah balik hasil rasa taksub pada perjuangan yang dibawa. Pemimpin kami benar. Pemimpin kami terbaik. Kerana itu dia diangkat dan menjadi tiang teguh kami, menjadi pilihan di kotak kotak berpangkah oleh ribuan jutaan yang lain. Tapi ingat, semakin tinggi kita diangkat, semakin sakit jatuhnya nanti.