Sajak Untuk ...
Sebungkus Nasi Lemak, segelas Nescafe panas berasap, dan sepotong kenangan. Tapi tetap yang sepotong itu aku telan. Bawa pada kisah luka terdahulu. Atau kisah indah sebenarnya. Tapi luka. Kemudian dua kali aku ketuk tepat ke meja, perlahan lahan, kudekatkan cuping, kudengar kebenaran. Helaian di tangan tersenyum padaku.
*****
Perpustakaan sedikit bingar hari ini. Beberapa hari yang terluang sebelum peperiksaan akhir bermula dan itu perkara biasa. Dua gadis di meja depan merenung dan aku tunduk kembali ke meja. Memegang pandang arah telefon bimbit, berdrama pendek konon mesej menjengah. Kemudian pena dakwat biru aku capai dan buka fail berkacip dua di sebelah bembanan buku. Nota pembelajaran, poster, dan beberapa kertas kajang sarat tulisan, juga contengan aku selak. Terjumpa sehelai yang masih kosong. Tertulis tarikh di sudut hujung yang kemudian aku garis berulang kiri kanan di atas permukaan tulisan. Tangan mula menyanyikan lagu minda.
Rama-rama datang,
Kata-kata hilang,
Dan kepompong waktu,
Terisi tawamu.
Buntu seketika. Angkat kepala. Dua gadis tadi sudah hilang. Yang tinggal seorang yang didalam, yang berjalan keliling taman fikir. Perhati kaca papar telefon sekali lagi. Masih tiada perubahan. Kembali pena mewarkah.
Akan nanti terdepang,
Sayapku sayang,
Kerana bila aku mati,
Kita seakannya makin dekat,
Kerana hakikatnya kita jauh,
Walau selalunya rapat.
Noktah. Gedebuk. Pusing belakang.
"Woih, buat pe tuh?", seru Dianah. Sepantas kilat aku lipat dua kertas tadi. Hampir keronyok.
"Buat nota", balas aku sekali lagi berdrama.
"Ke buat toyol?", sambil matanya jeling, bibir senyum menganjing.
"Toyol palotak hang, taknak aku repeat paper Puan Azila".
"Bukan boleh kira ko nih. Dah ah, jom. Penat aku tunggu ko kat luar".
"Pegi mana?", soal aku kepeningan.
"Ko nih betul la Alzheimer, tadi cakap nak makan dengan aku!", sedikit deras. Beberapa pelajar di keliling serta merta terpusing ke arah kami berdua. Seorang dua lagi meletak jari telunjuk di bibir. Ada berbunyi ular ular lidi tanda menyuruh diam.
"Slow la sikit, ngek. Sori la, lupa pulak. Jom jom", sambil bahunya aku pegang, dan pusingkan ke arah pintu keluar. Barang-barang aku capai, dan kembali menolak bahunya. Dianah sedikit mencemik, tapi manja. Aku jelir. Dia senyum, perlahan tumbuk bahu aku. Dan beriringan kami ke kafe dengan marah yang comel.
*****
Telefon di pengecas ku capai, cabut wayar berselirat perlahan. Kembali di kedudukan asal, menaip beberapa perkataan.
Woih lama diam. Hidup lagi ke?
Mencari nama yang tersimpan, pilih. Dan butang hijau kutekan. Telefon diletak. Pensil di sebelah diambil dan kertas di hadapan kembali dicapai. Antara senggang garis garis menutup tarikh dan tulis sebuah pengabdian, aku catitkan tajuk yang seharusnya aku lakarkan di kertas dua tahun yang lepas.
Sajak Untuk Dianah.
*tut tut* 1 Mesej diterima. *buka*
Hoi! Hidup lagi la ngek. Ko tuh sombong. Pehal mesej aku tetibe? Rindu lettuw ;p
Nescafe suam aku hirup dan bingkas ke katil meninggalkan Nasi Lemak dan kenangan tadi.

p/s : percubaan cerpen pertama. masih belajar untuk menulis dengan baik. semoga ada senyum yang terukir tika membacanya. Dan buat pencinta novel atau cerpen, kritikan anda dialu alukan.
# Ramai orang rujuk frasa cinta mati tapi aku sedang cuba mati mencintai kau.